Selasa, 12 November 2013

-: KETUMBIT :-

ketumbit?  Tau tak? Mesti semua tau kan… Pernah kena? Dulu masa sekolah kalau mata jadi ketumbit confirm tak mau pi sekolah sebab takut kena boo... ngan kawan-kawan kat sekolah.



Depa mesti cakap "Heeee... Ang pi mengendap sapa"
Hehe…

Minggu lepas adik (anak ke-2) kena ketumbit, bangun pagi ja mata penuh tahi mata pastu nak buka jadi sepet. Tanya kakak, dia cakap kat sekolah ada kawan jadi. Aku rasa mungkin berjangkit..
Pagi kelmarin dah surut sikit, bangun pagi ni dah tak kembung dah mata adik.
Tapi…mata kakak pulak. Bangun pagi ni cakap mata kakak tak boleh buka, aku tengok bengkak boom, tahi mata pon banyak. Kesian tengok, tak pi sekolah lah hari ni hantar pi umah mak tok. Balik keja nanti bawa p ambik ubat.

Typical Malaysian. Naik ketumbit ja kaitkan dengan intai mengintai. Dari orang tua-tua dulu lah…
Keluar teori naik ketumbit, sama dengan mengendap orang…

Aku cuba gak google petua nak hilangkan ketumbit, macam-macam keluar. Masa aku kecik dulu mak aku letak bawang putih, tapi seingat aku rasa gatai kalau letak bawang putih. Letak kat anak nanti jenuh menggaru pulak. Pastu cikgu anak-anak cakap ikat benang hitam kat jari tengah. Kalau kena mata kanan ikat mata kiri, kalau kenan mata kiri ikat mata kanan.  Tapi aku tak ikat pon, sebab aku pregnant..takut gak nak ikat-ikat benang ni.

Pastu aku ada jumpa satu doa ni :

Sambil gosok secara lembut tempat ketumbit tu

1. Baca surah Al-fatihah 1 kali.

2. Baca doa di bawah ni 3 kali

"Ya Allah yang mengecilkan segala yang besar, dan membesarkan segala yang kecil. Kecilkanlah apa yang ada padaku”

3. Selawat 3 kali

4. Yakin kepada Allah

Baca banyak kali..

Doa ni boleh juga untuk hilangkan bisul, jerawat or apa2 yang tumbuh di badan..InsyaAllah
Allah menjadikan penyakit dan Allah telah menyediakan penawarnya
Berusahalah mencari penawar.

GEJALA KETUMBIT :

Sebenarnya ketumbit tiada kaitan langsung dengan tabiat mengintai kerana ia sejenis keradangan pada kelopak mata yang disebabkan oleh jangkitan kuman.
Biasanya bakteria ini membiak di akar bulu mata sebelum menimbulkan masalah.
Ketumbit boleh dibahagikan kepada dua jenis. Yang pertama akibat jangkitan kuman pada pangkal bulu mata.
Jenis kedua ialah keradangan yang disebabkan penyumbatan pada kelenjar yang menghasilkan minyak untuk menentukan bulu mata kalis air (kalazion).
Ketumbit tidak berbahaya, tidak kira saiznya besar atau kecil. Ia tidak menjejaskan penglihatan seseorang, tetapi boleh menyebabkan kesakitan disebabkan berlaku bengkak pada satu kawasan kecil yang sensitif di kelopak mata.
Kadang kala, seseorang boleh mendapat lebih daripada satu ketumbit pada satu masa, tetapi usah risau kerana ia tidak berbahaya.
Selain benjolan merah pada kelopak mata, antara gejala lain yang mengiringi ketumbit ialah:
Ø  Mata berair.
Ø  Mata terasa gatal, terutama jika ada habuk.
Ø  Mata menjadi sensitif terhadap cahaya.
Ø  Kelopak mata menjadi merah dan bengkak.
Biasanya ketumbit mengambil masa tiga hari sebelum ia pecah dan kering. Bagaimanapun dalam kebanyakan kes, ketumbit akan sembuh dalam tempoh seminggu.
Ketumbit jenis kedua yang disebabkan penyumbatan kelenjar minyak (kalazion) pula 'tumbuh' lebih perlahan dan jika ia terlalu besar, ia mungkin boleh mengganggu penglihatan.
Rawatan utama untuk ketumbit ialah pembedahan kecil atau penggunaan antibiotik setempat yang harus diletakkan ke dalam mata bagi merawat jangkitan kuman.
Pembedahan juga hanya diperlukan untuk ketumbit yang disebabkan oleh penyumbatan pada kelenjar di kelopak mata selepas rawatan antibiotik setempat tidak berkesan.
Selalunya ia berlaku selepas keradangan berlanjutan melebihi dua minggu.
Pada peringkat awal, kalazion dapat dirawat dengan meletakkan antibiotik dan diikuti dengan menuam mata dengan kain yang direndam dalam air suam untuk mengatasi penyumbatan pada kelenjar di kelopak mata.
Ini harus dilakukan sebanyak tiga kali sehari selama seminggu. Ketumbit juga tidak menyebabkan kebutaan! Ini kerana ia hanya membabitkan kelopak mata.
Fungsi melihat bergantung kepada kesihatan biji mata dan kesihatan mata tidak terganggu apabila ada ketumbit.
Ketumbit boleh menyebabkan sedikit gangguan penglihatan jika ia menjadi terlalu besar dan menekan pada bahagian tengah mata, di mana ia menyebabkan astigmatisme.
Anak yang sering mendapat ketumbit juga bukannya kurang sihat. Sebenarnya ia cuma jangkitan kuman dan boleh berlaku pada sesiapa sahaja.
Ketumbit tidak berjangkit kepada orang lain! Ini kerana ia berlaku disebabkan penyumbatan pada kelenjar tarsal mata pesakit.
Jika berlaku ketumbit pada kelopak mata anak anda, segera berjumpa doktor untuk mendapatkan antibiotik dan memulakan rawatan untuk mencegah pembesaran ketumbit.
Pembedahan kalazion untuk golongan dewasa dan kanak-kanak juga berbeza dan hanya dilakukan jika perlu.
Untuk orang dewasa, selalunya ia dilakukan dengan pembedahan menggunakan bius setempat dan tidak menyakitkan.
Bagaimanapun, kanak-kanak akan memerlukan bius am (penuh) untuk menjalani pembedahan ini atas sebab-sebab yang jelas.


INFO : UTUSAN ONLINE

 

2 ulasan:

Nurzakiah Hanum berkata...

moning

Haryati Faizal berkata...

pernah gak kena masa kecik2 dulu..

Baca Lagi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...